Majdeena Naffesa Hasyeema

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers

Thursday, December 31, 2009

[ILMU & AMAL] Jom Mempertingkatkan Iman

....Ingat mengingatilah kita sesama umat Islam....

Pertama:
Lebih daripada sembahyang fardu lima kali sehari hendaklah anda melakukan sunat rawatib, 12 rakaat sehari yakni sunat yang mengiringi sembahyang fardu itu; dua rakaat sebelum sembahyang subuh dan empat rakaat sebelum sembahyang Zuhur dan dua rakaat selepas sembahyang Zuhur campur dua rakaat selepas sembahyang Maghrib campur dua rakaat selepas sembahyang Isyak.

Menurut keterangan hadis riwayat Muslim, sesiapa bersembahyang sunat 12 rakaat sehari semalam akan dibina baginya sebuah rumah di syurga.

Kedua:
Sembahyang malam sekurang-kurangnya dua rakaat. Ini memberikan kelebihan dimakbulkan doa seseorang itu.

Ketiga:
Sembahyang sunat Duha pada setiap pagi selepas naik matahari sama ada dua rakaat, empat rakaat atau lapan rakaat. Amalan ini memberikan erti dan makna setiap sendi manusia itu bersedekah pada hari itu. Dalam satu sabda Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan maksud sabdanya: Setiap tasbih (subhanallah) itu sedekah, pujian (al-Hamdulillah) itu sedekah, tahlil (Lailahaillallah) itu sedekah, Takbir (Allahu Akbar) itu sedekah, amar makruf (menyuruh orang berbuat baik) itu sedekah, nahi munkar (melarang orang berbuat jahat) itu sedekah, dua rakaat sembahyang sunat Duha itu sedekah (riwayat Bukhari dan Muslim).

Keempat:
Boleh juga dijadikan amalan tetap harian membaca surah al-Mulk, di mana surah yang mengandungi 30 ayat ini dapat memberikan syafaat kepada mereka yang membacanya

Kelima:
Hadis yang jelas menyuruh kita membaca La ilaha illa Allah wahdahu la sharikalah,. Lahu l-Mulk wa lahu al- Hamd wa huwa 'ala kulli sha'in qadir, sebanyak 100 kali sehari akan diampunkan dosa-dosa ( riwayat Muslim).

Keenam:
Sentiasa berselawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w. di mana sesiapa berselawat satu kali, Allah berselawat 10 kali kepadanya (memberkati dan menurunkan rahmat). Malah ada hadis yang menyebut, mereka yang paling kedekut adalah orang yang apabila disebut nama nabi s.a.w. dia bakhil untuk berselawat.

Ketujuh:
Bertasbih dengan Subhanallah al-'Azim, subhanallah wa bi hamdihi juga 100 kali sehari diberikan ganjaran tanaman pohon tamar kepadanya di syurga nanti.

Kelapan:
Beristighfar sebanyak mungkin pada setiap hari.

Ini semua merupakan amalan harian yang sepatutnya di amalkan oleh mereka yang ingin meningkatkan penghayatan Islam yang baik.

Terdapat banyak lagi seruan dari Allah dan Rasul agar kita banyak membaca al-Quran, paling tidak beberapa ayat al-Quran dalam sehari. Bukan sahaja membaca tetapi memahami akan makna dan maksud tujuan ayat-ayat itu. Membaca al-Quran selain banyak mendatangkan kebaikan dan pahalanya ia mendatangkan ketenangan hati kepada para pembacanya.

Bagi meningkatkan lagi hubungan manusia dengan Allah perlu di perbanyakkan berdoa pada masa-masa terluang, terutama selepas sembahyang atau di mana sahaja. Bagi memperelokkan agar doa diterima ikutlah adab-adab berdoa yang banyak ditulis dalam buku-buku agama.

DifahamiApa yang penting setiap doa dan zikir yang dibaca itu bukan hanya sekadar di bibir sahaja, tetapi harus difahami dan dihayati akan maksud-maksudnya. Saya percaya jika ini dapat dibuat masalah yang selalu menghimpit jiwa mereka yang sakit akan dirawati.

Meskipun segala bacaan itu baik, namun untuk menguatkan lagi iman, kita dituntut bekerja, berusaha dan bercampur gaul dengan orang ramai. Tunjukkan akhlak dan contoh teladan yang baik, sehingga kita mampu menyayangi orang lain dan orang lain juga menyayangi kita. Justeru iman dalam Islam bukan hanya bersifat pasif tetapi aktif malah proaktif.

Apa yang penting setiap daripada kita memahami banyak perkara yang nantinya akan dipersoalkan kepada kita pada hari kiamat kelak. Tidak ada orang yang tidak merasa bimbang dengan pertemuan di akhirat bersama Allah nanti. Justeru itu sekali lagi diingatkan agar semua orang menjauhi daripada perkara negatif seperti membenci, berdendam, mengutuk dan mengata apalagi melakukan maksiat seperti mencuri, membunuh, rasuah dan sebagaimana yang akan merosakkan iman dan mengurangkan kualiti keimanan kita.

Bagi mereka yang merasakan banyak lagi kekurangan daripada segi ilmu pengetahuan, bacalah buku-buku yang berguna. Kesilapan masyarakat kita adalah malas membaca bahan-bahan yang baik dan banyak tertumpu kepada hiburan yang mungkin hanya memberi hiburan segera tetapi pada jangka masa panjang merosakkan akal dan perasaan kita sendiri.

Mereka yang ada kekuatan menghafal mereka digalakkan pula menghafal kalau pun tidak keseluruhan al-Quran, jika ada beberapa surah atau juzuk al-Quran, sudah semestinya memberikan kebaikan sama ada di dunia apalagi di akhirat.

AmalanBanyak lagi amalan yang boleh dilakukan bagi menguatkan keimanan. Tetapi setiap orang ada amalan yang lebih mudah untuk dirinya melakukannya. Ada orang senang berpuasa, tetapi ada mereka yang agak keberatan untuk berpuasa sunat. Pilihlah mana yang lebih ringan untuk dilakukan dan mempertingkatkan diri dari satu masa ke satu masa.

Keimanan tidak akan menghalang kita untuk bekerja atau mengambil rehat hatta untuk bercuti makan angin asalkan sahaja dapat mengisinya dengan perkara baik.

Suasana di pantai dan pengembaraan dalam hutan memberikan inspirasi yang banyak kepada mereka yang suka berfikir dan mempunyai perasaan yang halus. Bagaikan seorang seniman yang akan dapat menangkap segala perkara dijadikan bagi dijadikan ilham untuk mencipta puisi dan tulisan. Orang beriman akan mengukir semua kehidupan bagi tujuan berabdi diri kepada Allah s.w.t. dan menunaikan tugas sebagai khalifah Allah jua.

Untuk peringatan kita semua jangan merasa remeh perkara-perkara kebaikan yang dilakukan, walau pun ia kecil, mungkin ia bernilai besar di sisi Allah. Begitu juga jangan meremehkan dosa yang kita buat walau pun kecil pada diri kita, mungkin ia besar pada sisi Allah s.w.t.

Wallahua'lam.

No comments: